1 November 2023 – Dalam era digital yang semakin pesat, isu keselamatan siber semakin mendapat perhatian serius ramai pihak. Sebagai usaha untuk meningkatkan kesedaran warga Universiti terhadap kepentingan keselamatan siber, Pusat Transformasi Insan telah menganjurkan Syarahan Pentadbir Siri kedua yang disampaikan oleh Encik Fadhlul Irham, Pengarah, Pusat Pengetahuan Komunikasi dan Teknologi bertajuk Cybersecurity: Isu dan Cabaran.
Dalam syarahan tersebut, beliau menggariskan beberapa isu utama dalam bidang keselamatan siber yang sedang dihadapi oleh warga Universiti secara khususnya dan masyarakat amnya pada masa kini. Antara isu tersebut adalah peningkatan serangan siber yang semakin berleluasa, kebocoran data individu dan ancaman siber yang di luar jangkaan.
Beliau juga memberi penekanan kepada kepentingan peranan individu, organisasi dan Universiti dalam menangani masalah ini dengan mengenalpasti kaedah perlindungan maklumat yang terperinci. Program yang dihadiri oleh 800 warga Universiti ini diharap dapat meningkatkan kesedaran terhadap keselamatan siber dan mengambil langkah-langkah proaktif untuk melindungi diri daripada ancaman siber masa kini.
コメント