top of page

JAGA IMEJ UNIVERSITI

Tarikh: 12 hingga 15 Mac 2023 (Ahad hingga Rabu)

Masa: 8:30 pagi hingga 5:00 petang

Tempat: Dewan Peperiksaan, Kompleks Pentadbiran Kampus, Kampus Kesihatan



Pengarah Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Shaharum Shamsuddin, menyeru semua staf baharu supaya sentiasa menjaga imej universiti dengan mengamalkan nillai-nilai terpuji seperti komited, jujur, dan amanah sepanjang perkhidmatan.


Selain itu, Prof. Dr Shaharum juga mahukan semua staf memahami peraturan-peraturan asas perkhidmatan awam serta pembentukan jati diri bagi menghadapi cabaran dan jangkaan pelanggan.


“Kita juga perlu bersyukur dengan rezeki yang Allah kurniakan. Umum mengetahui, senario lantikan masa kini adalah lantikan secara kontrak. Universiti mempertimbangkan sebahagian besar staf dilantik atau diserap ke jawatan tetap adalah suatu bukti staf telah melalui fasa penilaian prestasi yang cemerlang sepanjang tempoh kontrak,” katanya semasa menyampaikan Amanat Pengarah Kampus Kesihatan kepada peserta program Transformasi Minda Siri 1/2023 di Dewan Peperiksaan, Kompleks Pentadbiran Kampus, Kampus Kesihatan Kubang Kerian.


Untuk rekod, Program Transformasi Minda (PTM) diperkenalkan untuk memberi pendedahan dan penyesuaian minda pegawai di peringkat awal pelantikan dalam perkhidmatan awam. PTM juga merupakan satu daripada syarat pengesahan dalam perkhidmatan bagi menggantikan Kursus Induksi.


Seramai 51 daripada 94 orang hadir sepenuh masa, manakala selebihnya adalah peserta yang diberi pengecualian PTM, tetapi dijemput hadir pada hari terakhir sesi modul USM. Sementara itu, 15 orang penceramah diundang untuk mengendalikan sesi tersebut.





66 views
bottom of page