Semangat dan motivasi dalam diri haruslah sentiasa dipupuk. Setiap tahun cabaran dan perubahan persekitaran pekerjaan mungkin berbeza. Tenaga yang sihat, minda positif mencipta nafas baharu sangat penting dalam penyampaian perkhidmatan yang berkualiti.
Menyedari kepentingan tersebut, Pusat Transformasi Insan (PTi), Kampus Kesihatan mengundang Encik Zukernain bin Wook, Management Consultant dari Innotech Excel Consulting untuk berkongsi ilmu dan kaedah menyuntik motivasi bagi memastikan prestasi kerja kekal dan lebih produktif. Program ini juga membantu peserta mengenal pasti keseimbangan emosi serta mengekalkan momentum sedia ada.
Recharge Your Energy diadakan pada 22 Februari 2023 (Selasa) bermula jam 8:30 pagi hingga 4:30 petang di Dewan Persidangan Kampus, Kampus Kesihatan. Seramai 55 peserta daripada pelbagai kategori jawatan staf menyertai program ini.
Peserta sangat proaktif melakukan segala tugasan dalam kumpulan kecil. Mereka juga sentiasa diingatkan dengan kalimah positif seperti ‘Jadikan Masalah Sebagai Satu Peluang Untuk Penambahbaikan’ dan ‘Carilah Keberkatan Dalam Setiap Pekerjaan’.