21 Mac 2024 - Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Transformasi Insan (PTi) baru-baru ini telah mengadakan Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK Horizon Baharu) peringkat USM 2024.
Tujuan program ini adalah untuk meningkatkan inovasi dan kreativiti dalam kalangan staf, dengan memberi fokus kepada peningkatan kualiti penyampaian dan pemantapan tadbir urus pusat tanggungjawab serta Universiti secara keseluruhannya. Konvensyen ini juga bertindak sebagai platform untuk memilih kumpulan terbaik yang akan mewakili Universiti ke Konvensyen KIK peringkat Universiti Awam kali ke-17 dan KIK peringkat negeri Pulau Pinang. Penganjuran dalam format horizon baharu ini adalah yang pertama kali diadakan, dengan penekanan pada penilaian impak projek. Sebanyak enam kumpulan telah mengambil bahagian dalam konvensyen ini, terdiri daripada empat kumpulan dari peserta Kampus Induk USM dan selebihnya Hospital USM (HUSM).
Johan Konvensyen KIK Horizon Baharu kali ini telah dimenangi oleh Kumpulan C-Ner-G dari HUSM, yang telah membawa pulang hadiah berjumlah RM2,000 serta piala iringan dan sijil penyertaan. Manakala gelaran naib johan dan tempat ketiga telah dimenangi oleh Kumpulan Reborn Rehab (HUSM) dan Kumpulan Lang Merah, masing-masing membawa pulang hadiah RM1,500 dan RM1,000 beserta piala iringan dan sijil penyertaan.
Program seumpama ini diharap dapat memantapkan dan membudayakan inovasi dan kreativiti di kalangan warga Universiti Sains Malaysia.